Monday, March 1, 2010

Bekerja Waktu Malam Boleh Kena Kanser

Bismillah..

hampir setahun tak mencoret rasa. Sikit sharing for warming up.. ;)

<http://www.tintarestu.com/kesihatan/bekerja-waktu-malam-boleh-kena-kanser/>

August 13th, 2008 by Hady

Adakah anda bekerja di waktu malam atau anda suka berjaga semalaman? Jika benar, ini adalah masanya untuk anda berwaspada bagi menghindarkan kanser. Ada sebuah kajian terbaru menyatakan bahawa bekerja di waktu malam akan menyebabkan tubuh anda mengeluarkan karsinogen (zat penyebab kanser). Bekerja waktu malam bukan saja mengganggu kebiasaan jam biologi tubuh. Kajian yang dilakukan oleh International Agency for Research on Cancer (IARC) dari WHO telah menyebut bahawa berjaga di wwktu malam menghasilkan sel kanser payudara bagi wanita dan kanser prostat bagi lelaki.

Para pengkaji berpendapat bahawa kerja di waktu malam mengganggu kebiasaan biologi tubuh. Hormon melatonin yang menggalakkan pertumbuhan tumor biasanya dihasilkan di waktu malam. Kurang tidur menyebabkan sistem kekebalan tubuh mudah diserang sel kanser dan tidak mempunyai kekuatan untuk bertindakbalas. Vincent Cogliano salah seorang anggota IARC menyatakan bahawa berlaku pingingkatan penderita kanser di kalangan pekerja malam.

Sebenarnya hampir 20 peratus dari keseluruhan pekerja di negara-negara yang meningkat maju adalah pekerja malam. Jika benar bekerja malam memang berbahaya maka ramailah dari pekerja ini lambat-laun akan terkena kesannya.

Sebuah kajian mengenai bekerja malam ini pernah dilakukan juga sebelum ini iaitu pada tahun 2001 oleh satu kumpulan dari Fred Hutchison Cancer Research Center di Seattle. Mereka menemukan bahawa 60 peratus dari wanita yang bekerja malam lebih cenderung mengalami risiko kanser payudara. Beberapa ujian yang dilakukan ke atas tikus juga mendapati bahawa bila kebiasaan biologi tubuh terganggu maka ia akan menggalakkan penghasilan sel tumor. Sebuah kajian lain menyatakan bahawa pekerja pemadam kebakaran yang sering menghidu asap, bahan kimia, debu dan perlu bekerja di waktu malam mempunyai risiko mengidap kanser dan serangan jantung yang lebih tinggi.

Islam dengan jelas menggalakkan umatnya agar memilih siang sebagai masa untuk bekerja dan malam sebagai masa untuk berehat. Ini dapat kita perhatikan dalam beberapa ayat dalam Al-Qur’an:

Al-An’am 6:96. Allah jualah Yang membelah cahaya subuh (yang menyingsingkan fajar) dan yang menjadikan malam untuk tinggal berehat dan menjadikan matahari dan bulan untuk mengira waktu (menurut peredarannya). Yang demikian itu adalah kuasa penentuan Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui.

Al-A’raf 7:4. Dan berapa banyak negeri yang Kami binasakan, iaitu datang azab siksa Kami menimpa penduduknya pada malam hari atau ketika mereka berehat pada tengah hari.

Yunus 10:67. Dialah yang menjadikan malam bagi kamu supaya kamu berehat padanya dan menjadikan siang terang-benderang (supaya kamu berusaha). Sesungguhnya perubahan malam dan siang itu mengandungi tanda-tanda (yang menunjukkan kekuasaan Allah) bagi kaum yang mahu mendengar (keterangan-keterangan yang tersebut dan mengambil pelajaran daripadanya).

An-Naml 27:86. Tidakkah mereka memerhatikan bahawa Kami telah menjadikan malam untuk mereka berehat padanya dan menjadikan siang terang-benderang? Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi kaum yang beriman.

Al-Qasas 28:72. katakanlah lagi: Bagaimana fikiran kamu jika Allah menjadikan siang kepada kamu tetap selama-lamanya hingga ke hari kiamat, tuhan yang manakah yang lain dari Allah, yang dapat membawakan malam kepada kamu untuk kamu berehat padanya? Maka mengapa kamu tidak mahu melihat (dalil-dalil dan bukti keesaan dan kekuasaan Allah)?

Al-Qasas 28:73. Dan di antara rahmat pemberianNya, Dia menjadikan untuk kamu malam dan siang (silih berganti supaya kamu berehat padanya dan supaya kamu berusaha mencari rezeki dari limpah kurniaNya dan juga supaya kamu bersyukur.

Ghafir 40:61. Allah yang menjadikan malam untuk kamu supaya kamu berehat padanya dan menjadikan siang terang-benderang (supaya kamu berusaha). Sesungguhnya Allah sentiasa melimpah-limpah kurniaNya kepada manusia seluruhnya, akan tetapi kebanyakan manusia tidak bersyukur.

Al-Naba’ 078:9. Dan Kami telah menjadikan tidur kamu untuk berehat?

Al-Naba’ 078:10. Dan Kami telah menjadikan malam (dengan gelapnya) sebagai pakaian (yang melindungi)?

Al-Naba’ 078:11. Dan Kami telah menjadikan siang (dengan cahaya terangnya) masa untuk mencari rezeki?

Sebenarnya Islam menggalakkan umatnya menjadikan malam sebagai masa untuk bersama keluarga, berehat dan beribadah. Ini dijelaskan oleh ayat-ayat berikut:

Al-Muzzammil 73:1. Wahai orang yang berselimut!.

Al-Muzzammil 73:2. Bangunlah sembahyang Tahajjud pada waktu malam, selain dari sedikit masa (yang tak dapat tidak untuk berehat),

Al-Muzzammil 73:3. Iaitu separuh dari waktu malam atau kurangkan sedikit dari separuh itu,

Al-Muzzammil 73:4. Ataupun lebihkan (sedikit) daripadanya dan bacalah Al-Qur’an dengan ‘Tartil’.

Al-Muzzammil 73:5. (Sayugialah engkau dan pengikut-pengikutmu membiasakan diri masing-masing dengan ibadat yang berat kepada hawa nafsu, kerana) sesungguhnya Kami akan menurunkan kepadamu wahyu (Al-Qur’an yang mengandungi perintah-perintah) yang berat (kepada orang-orang yang tidak bersedia menyempurnakannya).

Al-Muzzammil 73:6. Sebenarnya sembahyang dan ibadat malam lebih kuat kesannya (kepada jiwa) dan lebih tetap betul bacaannya.

Al-Muzzammil 73:7. (Kami galakkan engkau dan umatmu beribadat pada waktu malam), kerana sesungguhnya engkau pada siang hari mempunyai urusan-urusan yang panjang kira bicaranya,

Al-Muzzammil 73:8. Dan sebutlah (dengan lidah dan hati) akan nama Tuhanmu (terus menerus siang dan malam), serta tumpukanlah (amal ibadatmu) kepadaNya dengan sebulat-bulat tumpuan.

Pada hemat saya, ayat-ayat di atas menjadi bukti bahawa fitrah (kebiasaan biologi tubuh) untuk bekerja adalah di waktu siang dan sekiranya fitrah ini terganggu, ia akan menyebabkan berlakunya gangguan terhadap kesihatan.

InsyaAllah akan ada sarjana Muslim di masa akan datang yang akan menemukan bahawa sebahagian malam yang diperuntukkan bagi beribadat kepada Allah berfungsi antara lain menghindarkan dari penyakit kanser atau sekurang-kurangnya membantutkan pertumbuhan kanser.


Wallahua’lam

No comments: